Moziah Bridges Jutawan Tali Leher Kupu-kupu
Moziah Bridges Jutawan Fesyen Di Usia Muda
Ketika berumur 9 tahun, Moziah membuat keputusan untuk menghasilkan bow (tali leher kupu-kupu) sendiri. Ini kerana beliau sukar untuk menemui bow untuk kanak-kanak yang menepati citarasanya.
Dengan bantuan neneknya yang pandai menjahit, Moziah belajar menjahit dan mula menghasilkan bow rekaannya sendiri yang berwarna-warni. Bow rekaannya turut menarik perhatian ahli keluarga, saudara mara dan rakan-rakannya. Justeru, Moziah membuat keputusan menjualnya secara kecil-kecilan di Facebook, Etsy, diikuti dengan jualan di beberapa buah kedai dengan jenama Mo’s Bow.
Pada usia semuda itu, Moziah sudah mempunyai visi untuk menjadikan kehidupan lebih ceria dan gembira melalui fesyen. Antara sumber inspirasinya adalah Ralph Lauren yang mula menjual tali leher pada usia 10 tahun.
Hasil dorongan dan sokongan ibu dan ahli keluarga lain, bisnesnya berkembang dan pada 2014 atau pada usia 12 tahun, Moziah mendapat peluang untuk muncul di program Shark Tank. Hasil jualan Mo’s Bow pada waktu itu adalah sebanyak USD55,000 dengan 2,000 pasang bow dijual.
Menerusi program tersebut, Moziah mendapat bimbingan dari seorang mentor iaitu Daymond John yang juga merupakan seorang usahawan fesyen dan pelabur. Menerusi Daymond, Mo’s Bow berjaya menembusi rangkaian kedai fesyen terkenal Neiman Marcus, Bloomingdales dan menandatangani perjanjian perlesenan dengan Cole Haan yang merupakan jenama fesyen global berpusat di New York.
Ini berjaya meningkatkan jualan Mo's Bow menjadi USD200,000. Pada waktu ini, Moziah sudah mempunyai matlamat untuk mempunyai rangkaian aksesori fesyennya sendiri.
Pada bulan Mei 2017, Mo’s Bow menandatangani perjanjian dengan NBA League (liga bola keranjang utama US). Menerusi perjanjian ini, Mo’s Bow diberi hak untuk mengeluarkan bow dan tali leher dengan logo NBA di bawah jenama Mos Bow NBA Collection.
Walaupun Mo’s Bow perlu membayar yuran penggunaan hak sebanyak 6 angka kepada NBA League tetapi dengan jumlah peminat NBA League yang mencecah lebih 200 juta di US, jualan Mo’s Bow dijangka dapat mencecah USD6 billion pada tahun ini.
Tetapi di sebalik semua kejayaan remaja yang kini berusia 15 tahun ini, ibu dan neneknya masih memastikan Moziah tidur awal setiap malam kerana beliau masih perlu bersekolah keesokkan harinya.
Comments
Post a Comment